.

.
JCM Gold

Wednesday, June 01, 2011

Sedang berfikir untuk menceburi bidang perniagaan …. Sila baca ini dahulu!

Sedang berfikir untuk menceburi bidang perniagaan …. Sila baca ini dahulu!
by PUNB

Artikel 'semua yang anda ingin tahu' ini merupakan satu editorial yang berfaedah yang  memberi  satu senarai 'sebelum anda bermula' yang baik. Senarai ini berguna untuk mereka yang serius untuk memulakan perniagaan sendiri.
Memula dan mengurus perniagaan memerlukan motivasi, keinginan dan bakat.  Ia juga memerlukan kajian dan perancangan yang rapi.Seperti permainan catur, kejayaan di dalam perniagaan bermula dengan langkah yang tegas dan tepat. Walaupun kesalahan  yang dilakukan di peringkat permulaan berniagan tidak begitu menjejaskan perniagaan, tetapi ia memerlukan kemahiran, disiplin dan usaha  gigih untuk mendapatkan  semula peluang tersebut.
Untuk berjaya, cari dan nilai matlamat perniagaan dan  juga diri anda.Gunakan maklumat ini untuk merangka pelan perniagaan secara menyeluruh yang dapat membantu anda mencapai matlamat tersebut.
Proses untuk merancang pelan perniagaan akan membantu anda untuk berfikir mengenai isu-isu penting yang belum anda pertimbangkan. Perancangan anda akan menjadi alat dan buku panduan yang berharga untuk anda berusaha mencari sumber pembiayaan.Ia juga berfungsi sebagai pengukur kejayaan perniagaan anda.

1. Baru Bermula Sebelum bermula, senaraikan sebab-sebab anda mahu memulakan perniagaan. Sebahagian daripadanya ialah :
· Anda ingin menjadi seorang majikan
· Anda inginkan kebebesan kewangan
· Anda inginkan kebebasan kreativiti
· Anda ingin menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan yang ada

2. Menentukan perniagaan yang 'sesuai untuk anda'. Tanya diri anda :
· Apa yang saya buat di masa lapang?
· Apakah kemahiran teknikal yang telah saya pelajari atau perolehi?
· Apa pendapat orang lain tentang kebolehan saya?
· Bolehkah saya mendapat sokongan dari keluarga ?
· Berapa banyak masa yang saya ada untuk mengusahakan perniagaan saya?
· Adakah saya mempunyai hobi atau minat yang boleh dipasarkan?

3. Kenalpasti 'niche' perniagaan anda.  Jalankan kajian yang perlu untuk menjawab soalan-soalan ini:
· Apakah jenis perniagaan yang saya minati?
· Apakah khidmat atau produk yang saya akan pasarkan?
· Adakah idea saya praktikal dan bolehkah ia menepati kehendak/ keperluan?
· Siapakah persaing saya?
· Apakah kelebihan perniagaan saya berbanding dengan perniagaan sedia ada?
· Bolehkah saya memberikan khidmat yang berkualiti tinggi?
· Bolehkah saya mengwujudkan permintaan terhadap perniagaan saya?

4. Buat senarai 'pra-perniagaan'.Anda perlu menjawab soalan-soalan ini:
· Apakah kemahiran dan pengalaman yang boleh saya sumbangkan kepada perniagaan ini?
· Bagaimana kedudukan saya di sisi undang-undang?
· Bagaimana rekod perniagaan akan dikendalikan?
· Apakah jenis perlindungan insuran yang diperlukan?
· Apakah peralatan atau bekalan yang diperlukan?
· Apakah imbuhan untuk diri saya?
· Apakah sumber yang saya perlukan?
· Di manakah premis perniagaan saya?
· Apakah nama perniagaan saya?

Jawapan ini akan membantu anda untuk membuat rancangan perniagaan lebih fokus dan menyeluruh  yang boleh berfungsi sebagai 'blueprint'. Ia akan memberi butiran terperinci bagaimana peniagaan akan dijalankan dan diuruskan.
Rancangan perniagaan merupakan asas penting untuk memulakan perniagaan. Setelah anda menyiapkan rancangan tersebut, semak dengan kawan dan rakan perniagaan.  Apabila anda berpuas hati dengan isi dan strukturnya, buatlah temujanji dengan pegawai bank untuk semakan dan perbincangan lanjut. Rancangan perniagaan adalah dokumen fleksibel dan perlu berubah apabila perniagaan anda berkembang.

Perniagaan Memerlukan Pemasaran

Perniagaan Memerlukan Pemasaran
by Datuk Mohd Nasir Ahmad

Mengurus perniagaan memerlukan tahap kefahaman yang mencukupi. Tidak kira sama ada seseorang itu usahawan atau pengurus professional, kejayaan perniagaan yang diurusnya bergantung kepada tahap kefahamannya mengenai perniagaan.

Satu perkara asas mengenai perniagaan yang perlu difahami ialah Kitaran Perniagaan. Dengan memahami Kitaran Perniagaan, kita dapat melihat bagaimana sesuatu perniagaan itu bergerak dan menjana aliran tunai. Dalam perniagaan, aliran tunai adalah perkara paling penting dan kedudukan aliran tunai yang sihat akan menjamin perkembangan dan pertumbuhan perniagaan.

Secara ringkasnya Kitaran Perniagaan boleh ditunjukkan seperti Rajah 1
berikut:

ac_rajah1.gif

Rajah di atas menunjukkan bahawa perniagaan memerlukan modal wang untuk pembelian stok barangan atau bahan mentah yang mungkin perlu ditambah nilai melalui proses tertentu bagi menyediakan sesuatu produk atau keluaran. Bagi mendapat balik modal wang yang dibelanjakan, produk atau perkhidmatan yang dihasilkan perlu dijual di pasaran. Jika produk yang terhasil gagal dijual, kitaran perniagaan tidak akan lengkap dan ini menjejaskan aliran tunai perniagaan tersebut. Tanpa aliran tunai yang positif, perniagaan tidak mempunyai peluang untuk terus bertahan.

Penjualan produk atau perkhidmatan adalah satu perkara penting bagi operasi perniagaan. Untuk memastikan jualan dapat dilaksanakan ditahap paling tinggi, kefahaman tentang pemasaran dikalangan usahawan atau pihak pengurusan amat perlu. Kita telah melihat banyak perniagaan  gagal kerana kelemahan dari segi pemasaran. Ramai usahawan  mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan yang baik dan berkualiti tetapi perniagaan mereka masih gagal kerana tidak dapat memasarkan produk seperti diharapkan. Oleh itu, setiap rancangan perniagaan harus memberi penekanan kepada aspek pemasaran.

Masih ramai yang memahami pemasaran sebagai hanya penjualan dan pengiklanan.  Pemasaran sebenarnya adalah lebih dari itu. Kotler & Armstrong dalam Principles of Marketing menulis “Konsep pemasaran mengatakan bahawa pencapaian matlamat organisasi bergantung kepada usaha menentukan keperluan dan kehendak pasaran sasar dan memberi kepuasan yang dikehendaki dengan lebih efektif dan efisien daripada pesaing”. Konsep jualan berbeza dari konsep pemasaran di mana konsep jualan bermula dari kilang sementara konsep pemasaran bermula dengan pasaran. Perbezaan kedua konsep ini di tunjukkan seperti Rajah 2 berikut:


rajah 2.jpg

Konsep jualan tidak sesuai dalam pasaran di mana pelanggan yang berkuasa. Oleh kerana pemasaran berkait dengan kepuasan pelanggan, ia melibatkan produk, pembungkusan, promosi, harga dan pasaran. Maka tumpuan keatas faktor-faktor ini penting untuk menghasilkan pemasaran bersepadu yang boleh meningkatkan jualan. Kombinasi produk yang baik, pembungkusan yang menarik serta harga yang kompetitif hanya akan berkesan sekiranya ia memenuhi kehendak pasaran sasar.

Dalam keadaan pasaran yang semakin bersaing dan lebih terbuka, adalah wajar kaedah pemasaran  memfokus kepada segmen pasaran dan produk diguna pakai. Syarikat perniagaan mungkin perlu mengenalpasti pasaran nich sebagai tumpuan. Memfokus kepada produk juga penting kerana apabila pasaran menjadi semakin besar, pengkhususan produk akan memberi kelebihan. Adalah lebih mudah memberi tumpuan kepada produk yang khusus daripada cuba mempelbagai produk dalam suasana pasaran yang luas. Dari masa kemasa, banyak perniagaan gagal apabila hilang fokus terhadap perniagaan asasnya.

Pengkhususan produk akan memastikan kualiti yang tinggi. Namun begitu, dalam keadaan di mana teknologi semakin memudahkan proses-proses pembuatan, kualiti produk yang tinggi mudah ditandingi oleh para pesaing. Oleh itu, kualiti yang tinggi harus pula ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari pesaing.

Satu lagi aspek pemasaran yang harus diberi perhatian kini ialah konsep jenama (brand). Ada jenama yang besar dan terkenal diseluruh dunia dan ada juga jenama-jenama kecil yang khusus dan bertumpu kepada pasaran tertentu. Bagi perniagaan yang sukar menandingi jenama besar, strategi yang sesuai ialah membina jenama khusus untuk pasaran tertentu.

Pemasaran adalah penting untuk pertumbuhan perniagaan. Perniagaan yang tidak memberi tumpuan kepada pemasaran akan gagal dalam jangka terdekat kerana jualan akan terjejas dan  kitaran perniagaan juga akan terjejas. Untuk memastikan pemasaran lebih berkesan, pengurusan tertinggi syarikat hendaklah melibatkan diri secara langsung dalam proses pemasaran. Pemasaran adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada pengurus pemasaran dan jabatan pemasaran. Ketua-ketua eksekutif syarikat mesti memahami konsep pemasaran secara mendalam di samping memahami bidang kewangan, pengeluaran, pengurusan dan sebagainya.  

Nasihat untuk Usahawan yang Sedang Meningkat

Nasihat untuk Usahawan yang Sedang Meningkat
by Dato' Mohd Nadzmi Mohd Salleh

Untuk berjaya dalam perniagaan , usahawan perlu mempunyai minat yang mendalam  dan jati diri yang tinggi” – Dato’  Mohd Nadzmi
Falsafah inilah yang dipegang oleh Y Bhg Dato’  Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi Eksekutif, Nadicorp Holdings Sdn Bhd.  Beliau berkata demikian semasa memberi ceramah tengahari  PUNB  bertajuk " Revitalising Companies  – The Way Forward”  pada 27 Julai 2004.
Bermula dari dunia korporat, Dato' Nadzmi telah diberi peluang untuk mengendalikan syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasalah dan berjaya membawa syarikat-syarikat ini keluar dari kemelut dan masalah perniagaan. Nama-nama seperti PROTON, MARA, Park May Sdn Bhd, BAM dan sebagainya banyak dikaitkan dengan ketegasan dan komitmen tinggi beliau mengurus secara lurus dan mantap. Bentuk pengurusan ini  sinonim dengan nama beliau.
Sebagai seorang yang berjaya dan berpengalaman, beliau sering memberi  tip sebagai panduan kepada usahawan PUNB untuk berjaya dalam dunia perrniagaan  :-


Ini adalah nasihat beliau:
• Anda mesti mempunyai sikap rajin
• Seseorang yang ingin menjadi usahawan perlu mempunyai minat, keinginan dan kesungguhan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi. Tanpa elemen ini , mungkin kejayaan yang diharapkan tidak akan tercapai. Menurut Dato’ Mohd  Nadzmi, sikap untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu kerja adalah satu sikap yang baik.

Mengikut Dato'  Mohd Nadzmi,  kita tidak dapat  meramal masa depan kita. Contohnya jika seseorang yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan bukan bermakna dia  akan mendapat ‘A’ dalam semua perkara. Jika kita lihat usahawan yang berjaya, mungkin mereka bukan dari golongan yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan. Tetapi mereka terdiri dari golongan yang gemar mengambil risiko dan akan berbuat apa sahaja untuk bertahan. Mereka belajar dari pengalaman dan berani mengambil risiko. Tanpa minat yang tinggi, kesungguhan, kesabaran dan takwa, usahawan  tidak akan beroleh kejayaan cemerlang.


• Anda mesti mempunyai keyakinan diri
• Disamping minat dan kesungguhan, kreativiti juga perlu ada dalam diri seseorang.  Ini perlu dipupuk dengan sikap bertanggungjawab, semangat yang tekad , keimanan yang kukuh dan berfikiran terbuka dan positif.  Bagi Dato’  Mohd Nadzmi, usahawan adalah insan yang istimewa. Mereka  merupakan golongan yang berani dan sanggup mengharungi pahit getir dunia perniagaan yang mencabar. Oleh itu, menurut Dato’  Mohd Nadzmi, seorang usahawan tidak perlu teragak-agak untuk membuat sesuatu keputusan semasa mengurus  perniagaan. Apa yang penting, perlu ada ketegasan dalam  membuat keputusan untuk menjamin keutuhan perniagaan tersebut. Setiap keputusan yang dibuat mempunyai risiko yang bakal dihadapi, tetapi jangan terlalu difikirkanya.  Usahawan perlu menghadapinya dan terpulanglah kepada diri bagaimana untuk menyelesaikannya



• Mengurus organisasi dan operasi syarikat adalah penting
• Mengurus organisasi dan operasi syarikat merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian khusus. Contohnya pengurusan aliran wang tunai (cash flow) amat penting kerana ia  diibaratkan seperti nadi dalam tubuh manusia.  Jika aliran wang tunai tidak diurus secara mantap, syarikat tersebut akan menjadi kelam kabut dan akhirnya akan runtuh. Oleh yang demikian, setiap usahawan perlu memastikan aliran wang tunai syarikat mereka berada dalam keaadan yang kukuh.



• Penghormatan mesti diberi dan bukan diminta
• Seseorang usahawan perlu mengetahui secara terperinci mengenai hal ehwal perjalanan operasi perniagaan mereka. Ini dapat tercapai jika mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman kerana kedua-dua ini penting untuk meletakkan seseorang usahawan itu di tahap yang lebih tinggi dari para pekerjanya dan pesaingnya. Menurut beliau, penghormatan mesti diberi dan bukan diminta dan usahawan  hanya akan mendapatkannya melalui ilmu pengetahuan.  Sekiranya ilmu tersebut tidak terdapat di sini  maka usahawan perlulah berusaha mencarinya di tempat yang lain atau mendapatkannya dari orang yang lebih berpengalaman. 


• Belajar apa yang perlu mengenai cara menguruskan operasi peniagaan
• Fokus kepada bagaimana sesuatu perniagaan itu harus dijalankan. Usahawan perlu menentukan misi dan visi diri dan syarikat. Lebihkan tumpuan kepada bagaimana cara untuk menangani sesuatu permasalahan perniagaan yang timbul. Jangan optimis kepada sesuatu yang anda suka sahaja tetapi belajarlah tentang semua perkara untuk mengurus perniagaan dengan cemerlang .



• Belajar dari kesilapan
• Menurut Dato’  Mohd Nadzmi, tiada manusia di dunia ini  sempurna. Kesilapan yang timbul mengajar manusia untuk  memperbaiki kelemahan diri agar dapat mengembangkan minda kita menjadi lebih kreatif  menyelesai masalah. Buatlah ‘post mortem’, kaji kesilapan yang telah berlaku dan jangan ulangi kesilapan itu. Di samping itu, sikap ego perlu diketepikan dan akuilah kesilapan yang telah berlaku. Jika kesilapan yang lalu tidak diperbaiki dan diulangi, pasti kejayaan tidak dapat akan tercapai



• Ambil tindakan berasakan keutamaan
• Usahawan perlu  bijak bertindak mengikut kepentingan sesuatu perkara. Menurut Dato' Mohd Nazmi, beliau akan menulis dalam buku nota tentang perkara yang memerlukan tindakan beliau apabila perkara tersebut terlintas di kotak fikirannya.   Beliau kemudian menyenaraikan perkara-perkara tersebut mengikut kepentingan dan bertindak mengikut senarai yang tertulis. Menurut beliau lagi, sekiranya seseorang berada di dalam kemelut perniagaan, tulislah apa yang difikirkan. Tetapi apa yang penting, janganlah takut dengan masalah tersebut dan bertindaklah  untuk menyelesaikanya secara bijak.



• Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab
• Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, beliau menjadikan YAB Tun Dr Mahathir Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia sebagai mentor. Minat beliau untuk menjadi usahawan timbul setelah diberi tanggungjawab mengendali syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasaalah. Beliau tidak diberi pilihan tetapi perlu  memastikan syarikat-syarikat di bawah kendaliannya berjaya.

Dato’ Mohd  Nadzmi juga menasihati para usahawan bahawa sekiranya diberi tugasan penting seseorang itu perlulah:-
- melakukan tugasan yang diamanahkan  dengan cara yang terbaik
- mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan menyelesaikan masalah
- kreatif dalam membuat keputusan
- jadikan masaalah yang timbul sebagai satu peluang untuk berjaya.

Seorang pemimpin mesti mempunyai imej yang baik supaya dihormati oleh orang-orang pimpinannya dan pesaingnya. Seorang peminpin juga perlu mempunyai pengetahuan  dan pengalaman yang luas tentang  pengurusan dan operasi syarikatnya  dan  juga syarikat pesaing. Semua ini perlu  untuk seseorang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan, Insyallah.

Jihad- Satu Cabang Perniagaan

Jihad- Satu Cabang Perniagaan
by Tan Sri Muhammad Ali Hashim

Selepas tragedi 11/9, masyarakat Islam yang semakin tertekan di sarankan untuk terus mengutamakan jihad.  Namun kali ini, jihad yang dianjurkan ialah dalam usaha untuk  memperkukuhkan ekonomi dunia Islam. Mengikut Tan Sri Muhammmad Ali Hashim, Ketua Eksekutif, Johor Corporation, sebab-sebab utama  masyarakat Islam perlu berbuat demikian adalah kerana kita:-

1. Mudah ditewaskan dalam perang jihad kerana kekurangan senjata.
Oleh  itu, umat Islam tidak mempunyai pilihan lain untuk menentukan kewujudan  umat sejagat.

2. Perlu membina semula kekuatan dan menghimpun kekayaan
Secara umumnya, umat Islam hidup dalam kemiskinan dan mereka jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi. Masyarakat Islam juga dianggap  sebagai "totalitarian", "tidak boleh bertolak ansur" dan "mundur" oleh masyarakat lain. Ini menyebabkan mereka menggelar negara Islam sebagai negara yang gagal.


3. Medan perang Abad 21 adalah  dalam dunia perniagaan dan korporat
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis  menyaksikan organisasi-organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi. Pemusatan kuasa ekonomi global pada 'multi national corporation' (MNCs) barat mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat 

Mengikut kajian oleh UNDP ( Human Development Report 1999), nilai harta milik tiga jutawan terkaya di dunia melebihi jumlah himpunan KDNK semua negara membangun di dunia yang mempunyai jumlah penduduk seramai 600 juta.

Oleh itu Tan Sri Ali menyarankan agar  kita bersedia menangkis ancaman kapitalisme dengan menjauhi sindrom "katak dalam air panas", satu sifat dimana seseorang itu  akan gagal atau tewas dalam keselesaannya sendiri setelah berkhayal dan hilang pedoman dan pegangan hidup. Malah menurut beliau lagi, sistem global kapitalis tanpa sempadan adalah sesuatu yang buas dan liar, walaupun begitu, dunia terpaksa menerima kewujudannya.  

Menurut Tan Sri Ali lagi, kelemahan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam amnya menyebabkan mereka mudah saja ditewaskan dan diketepikan di arena politik antarabangsa dan juga arena-arena lain. Oleh itu beliau menyarankan agar  kita memperjuangkan perniagaan sebagai satu cabang jihad dan meletakkan perjuangan bisnes sebagai perkara utama dalam agenda ekonomi Islam Hadhari. Peranan kepimpinan dalam perjuangan jihad ini, tegas beliau, perlu melibatkan semua lapisan usahawan, sama ada awam mahu pun swasta, dan wajib di pikul oleh semua ahli korporat Muslim.
Menyentuh tentang aset dan harta milik individu dan keluarga Melayu, beliau berkata bahawa kedudukannya amat rapuh.  Kerapuhan disebabkan oleh kelemahan peribadi usahawan, fenomena pusaka 'sekangkang kera" dan fenomena “3 generasi”, di mana pegangan hakmilik bisnes keluarga selalunya tidak dapat bertahan lebih dari generasi ketiga pewarisnya. Sebagai contoh, 95 % dari perniagaan di negara Timur Tengah dikendali oleh pihak keluarga. Walaupun ianya menguntungkan, hanya 6% yang bertahan ke generasi ketiga dengan hanya  2% sahaja mampu bertahan ke generasi yang berikutnya.
Menurut beliau, jalan keluar utama  umat Islam memperjuangkan jihad bisnes ialah pertama, dengan menjana kekayaan dan menjadi pemegang utama kuasa ekonomi.  Langkah kedua melibatkan umat menginstitusikan hakmilik dan membina korporat gergasi Muslim yang diurus secara korporat, tetapi kepentingan majoriti hakmiliknya tidak terserah kepada individu atau keluarga kelompok kecil.  Malahan Tan Sri Ali menyarankan supaya umat Islam menilai konsep institusi waqaf korporat sebagai satu pilihan.
Beliau juga menyeru umat Islam supaya memperjuangkan nilai Islam dalam perniagaan  dengan membina sistem ekonomi yang secucuk dengan jiwa Melayu dan melihat umat Islam sebagai "ketam" yang disifatkan oleh musuhnya sebagai ‘berjalan tidak betul’. Cara Melayu berniaga, menurut beliau, perlu diubah-suai supaya secucuk dengan jiwa ‘ketam’ yang sebenarnya adalah berjalan dengan cara yang betul, iaitu di atas landasan Islam yang tidak mementingkan kepentingan individu di atas kepentingan masyarakat ramai. Dengan demikian, sistem perniagaan persaingan berlandaskan Islam perlu, antara lainnya, mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
 Kekuatan kita terletak pada budaya ‘fastabiqul khairat’, atau 'berlumba-lumba untuk berbuat baik"
 ‘Barakah’ dari pegangan bahawa harta kekayaan adalah milik mutlak Allah SAW.
 Kekebalan yang terdapat pada sikap bekerja/berjihad dan bukan untuk peribadi
 Kekuasaan perjuangan sebagai ‘khalifah’ bertujuan mentamadunkan dunia untuk manusia sejagat

Menurut beliau lagi, cara ketam 'menjalankan' perniagaan harus berbeza dengan cara makhluk lain seperti ‘siput, umang-umang dan belangkas’ berniaga. Umat Islam perlu   memilih budaya korporat organisasi ketam yang berasaskan kepada komitmen tinggi terhadap pekerjaan yang bermanfaat, iaitu selaras dengan kehendak agama yang inginkan setiap manusia mengeluarkan barangan dan perkhidmatan lebih dari  keperluan kegunaanya sendiri.
 
Tan Sri Muhammmad Ali Hashim memetik Surah AsSaf, Ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah Taala amat menyukai orang berjihad pada jalanNya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh" untuk kita jadikan panduan. 

News Membership

» GREETINGS RESPECT & GREETINGS AFFECTION 3 DRAGONS.

PERMOHONAN KEAHLIAN BARU DIBUKA KEPADA SESIAPA SAHAJA YANG BERMINAT DENGA PERNIAGAAN . (SILA HUBUNGI BRADER YAS DI TALIAN 017-2501814......